KUALA TERENGGANU – Gara-gara memuat naik gambar dan video lucah pada lima tahun lalu, seorang penyelia kilang didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nooriah Osman memutuskan demikian selepas tertuduh, Ahmad Tarmizi Mohd, 28, membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut pada sebutan kes berlangsung 8 Februari lalu.
Beliau memerintahkan tertuduh didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan penghantaran komunikasi bersifat lucah melalui aplikasi Google Drive.
Penyebaran gambar dan video itu disedari pengadu di sebuah rumah di Kampung Padang Sena di sini pada pukul 12 tengah malam, 11 Mei 2017.
Ahmad Tarmizi didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE