PETALING JAYA – Tindakan seorang pengantin lelaki melompat ke dalam sungai bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) telah menerima pujian daripada orang ramai.
Menerusi perkongsian Anipp Ahmad di media sosial, dia memaklumkan kejadian awal berlaku apabila kanak-kanak OKU tersebut berlari keluar dari kereta ibu bapanya dan terus melompat ke dalam sungai.
Difahamkan insiden tersebut berlaku berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Anak Bukit sambil disaksikan sepasang pengantin yang sedang melakukan sesi fotografi perkahwinan di kawasan berhampiran.
Dalam rakaman tersebut, pengantin lelaki berkenaan segera bertindak untuk membantu mangsa dan akhirnya kedua-dua mereka berjaya naik ke darat dengan selamat.
Sementara itu, ibu bapa kanak-kanak tersebut juga merupakan OKU dan mereka dilihat begitu cemas apabila menyaksikan tindakan anaknya terjun ke sungai.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut sama terkejut melihat situasi itu dan mereka memuji tindakan pantas pengantin berkenaan yang prihatin sehingga sanggup membantu tanpa memikirkan risiko pada dirinya.
“Nasib hero pengantin kita ada, lepas sesi fotografi dengan baju pengantin terus terjun pergi selamatkan budak itu,” kata Ahmad Saiful.
“Hero kita, jasa abang tak ternilai abang, sanggup berkorban nyawa demi nyawa orang lain. Syabas abang,” puji Wanierazalbetta.
“Mujur ada yang pandai berenang, pantas bertindak abang ini, moga perkahwinan dengan pasangan mendapat kebahagian berpanjangan atas jasa membantu orang lain,” komen Syaiful Anuar. – KOSMO! ONLINE