MOSCOW – Seorang lelaki warga Rusia yang menggemari hidangan McDonald’s bertindak menggari tangannya sendiri di pintu salah sebuah restoran makanan segera itu di Moscow sebagai protes untuk membantah penutupan operasinya, lapor akhbar The Sun UK.
Lelaki bernama Luka Safronov itu dirakam membuat bantahan beberapa jam sebelum syarikat gergasi makanan segera itu ditutup di seluruh Rusia sebagai tindak balas serangan ke atas Ukraine.
McDonald’s yang memiliki 62,000 pekerja di Rusia mengumumkan penutupan sementara 850 restorannya di seluruh negara itu pada minggu lalu.
Ramai peminat makanan segera itu kecewa lalu mengadakan mogok. Beberapa hidangan kini dilaporkan dijual secara dalam talian pada harga £255 (RM1,396.68).
“Menutup restoran ini adalah satu tindakan untuk bermusuh dengan saya dan rakan-rakan,’’ kata Safronov dalam satu rakaman kejadian.
Pelanggan-pelanggan lain dilihat berjalan melintasi Safronov ketika mereka cuba mendapatkan hidangan terakhir di restoran itu. Beberapa pegawai polis kemudian mengheret lelaki berkenaan untuk melepasi orang ramai yang turut memprotes. – Agensi