GENOA – Juventus terus menghidupkan peluang untuk mencabar kejuaraan Serie A musim ini selepas menang 3-1 ke atas Sampdoria pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Luigi Ferraris awal pagi semalam.
Meskipun menang dengan keputusan selesa hasil dua jaringan Alvaro Morata dan gol sendiri Maya Yoshida, namun skuad The Old Lady itu sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar.
Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri gembira dengan kemenangan tersebut walaupun beliau menegur aksi kurang sabar yang ditampilkan barisan pemainnya pada perlawanan itu.
“Secara keseluruhannya, pasukan kami menampilkan aksi cukup baik dari segi teknikal dalam perlawanan hari ini (semalam). Bagaimanapun, masih ada yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi kawalan permainan.
“Kami perlu tahu dan faham mengenai situasi permainan, bilakah perlu tingkatkan tempo ataupun tidak. Pemain-pemain perlu faham ada masanya mereka perlu perlahankan tempo permainan dan sabar,” katanya.
Beliau juga tanpa berselindung mengakui kagum dengan aksi yang ditampilkan Morata menerusi dua jaringan dilakukan dan menganggap pemain Sepanyol itu sebagai salah seorang penyerang terbaik di Eropah.
“Bagi saya, Alvaro (Morata) adalah antara penyerang yang memiliki kemahiran teknikal terbaik di Eropah. Dia sentiasa memberi ancaman kepada pasukan lawan jika diberikan ruang,” ujar Allegri. – AGENSI