fbpx

Luahan Pembaca: Masih selamatkah bina penempatan di kawasan bercerun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN tanah runtuh menyebabkan kemusnahan kepada harta benda selain mengundang bahaya kepada penduduk sekitar.

SAUDARA PENGARANG,

Pertama sekali, ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa dalam insiden di Taman Bukit Permai 2, Ampang, baru-baru ini.

Kejadian ngeri itu berlaku hanya beberapa hari selepas sebahagian kawasan Kuala Lumpur ditenggelami banjir kilat, yang mengakibatkan beribu-ribu kenderaan terperangkap selain terkandas.

Bencana alam khususnya tanah runtuh bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Saban tahun, ada sahaja tragedi besar yang meragut nyawa terutamanya melibatkan kawasan tanah tinggi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Bagaimanapun, insiden di Taman Bukit Permai 2, Ampang baru-baru ini amat mengejutkan kerana berlaku dalam skala yang cukup besar sehingga menjejaskan struktur tanah di kawasan terbabit.

Ironinya, kejadian kegagalan cerun merupakan peristiwa geobencana yang sering menjadi ancaman kepada manusia dan harta benda serta aktivitinya. Walaupun tiada data statistik yang tepat, kekerapan kejadian kegagalan cerun di Malaysia semakin meningkat saban tahun.

Paling membimbangkan apabila kegagalan cerun ini yang seterusnya mengakibatkan tanah runtuh sering kali dikaitkan dengan pembangunan infrastruktur sama ada melibatkan pembinaan lebuh raya, jalan raya, empangan mahupun penempatan penduduk.

Tidak dinafikan, aktiviti memotong cerun atau mewujudkan cerun tambakan perlu dilakukan atas dasar pembangunan, terutama mengambil kira faktor untuk menyediakan kawasan perumahan bagi penduduk.

Pembangunan yang terlalu pesat khususnya di Lembah Klang memaksa pihak pemaju mencari pelbagai alternatif untuk mencari kawasan bagi tujuan pembinaan kawasan perumahan.

Bagaimanapun, kita harus beringat bahawa dalam keghairahan kita mengejar pembangunan, ada kalanya tindakan yang bijak pada hari ini, sebenarnya boleh mengundang bencana yang besar pada masa akan datang sekiranya tiada pemantauan secara berkala.

SAIFUL AKRAM
Jasin, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI