LUMUT – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan mengumumkan protokol kesihatan yang perlu dilaksanakan di lapangan terbang seluruh negara apabila pintu sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April ini.
Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tugas syarikat itu dalam fasa endemik nanti bergantung kepada keputusan kerajaan.
“Ketika ini MAHB sedang berurusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi perkara tersebut.
“Ini dalam usaha memudah cara proses-proses dilaksanakan kepada penumpang di lapangan terbang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program #MYAirportCARES Pek Ceria Kembali Ke Sekolah MAHB di Seri Manjung hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin dan Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris. – KOSMO! ONLINE.