PENGHUJUNG 2021 menyaksikan negara dilanda satu demi satu bencana alam buruk yang memberi kesan sehingga kini.
Banjir besar berlumpur yang melanda Pahang khususnya di Temerloh dan Bentong pada 18 Disember lalu amat mengejutkan kerana melibatkan kawasan jarang banjir seperti di Chegar Medang.
Kejadian tidak disangka itu menyaksikan kemusnahan teruk di Chegar Medang, begitu juga Karak yang menjadi lautan air berlumpur dalam sekelip mata.
Pelbagai cerita duka termasuk kehilangan nyawa akibat kepala air, mangsa yang terperangkap di atas bumbung semalaman dan sebagainya berlaku.
Ratusan runtuhan kecil dan juga puing dijadikan antara sebab berlakunya banjir buruk di kawasan berbukit itu.
Selepas itu, satu demi satu bencana berlaku termasuk di Selangor dan Terengganu yang turut menyaksikan banjir dan puing berpunca curahan hujan yang kuat.
Kini, selepas hampir tiga bulan tragedi banjir lumpur berlaku di Pahang khususnya di Bentong, ketakutan dan trauma masih dirasai penduduk setempat setiap kali hujan lebat.
Namun, sejauh mana kejadian banjir hampir tiga bulan lalu memberi pengajaran khususnya kepada pihak berkuasa untuk bersiap siaga agar kejadian sama tidak menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang teruk.
Mungkin kejadian pada 18 Disember lalu diberi alasan kawasan itu tidak pernah berlaku sebarang bencana, meskipun terdapat amaran hujan dikeluarkan.
Lebih menyedihkan apabila episod hitam itu bagaikan telah dilupakan dan tiada apa-apa langkah awal pencegahan dilakukan.
Di Chegar Medang yang merupakan kawasan terjejas teruk.
Alat pengesanan awal banjir masih lagi rosak meskipun amaran hujan banyak kali dikeluarkan. Di Sungai Telemong, Karak timbunan kayu masih tersekat dan longkang masih tersumbat.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, bencana semula jadi di negara ini dijangka berlaku lebih kerap pada masa hadapan yang memerlukan persediaan yang rapi.
Jelasnya, kesan pemanasan global menyebabkan perubahan iklim berpotensi meningkatkan berlakunya cuaca ekstrem yang boleh mengakibatkan bencana semulajadi berkaitan cuaca berlaku lebih kerap.
Katanya, antara bencana berpotensi berlaku lagi pada masa akan datang ialah kejadian tanah runtuh dan banjir berskala besar akibat hujan lebat berterusan yang ekstrem serta kejadian kemarau dan kebakaran hutan.
Bagi Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar, kejadian aliran puing yang berlaku di Bentong khususnya boleh berulang lagi tetapi tidak dapat dijangka memandangkan negara tidak mempunyai data yang boleh digunakan.
Jelas beliau, keupayaan agensi kerajaan atau institusi penyelidikan di negara ini agak lemah dari segi pengumpulan data saintifik.
Katanya, dalam mengatasi isu bencana khususnya aliran puing yang boleh membunuh dan memusnahkan ini, langkah awal perlu dilakukan seperti melakukan kajian terperinci bagi menangani bencana itu.
Tambahnya, program kesiapsiagaan perlu diperhebatkan, stesen cerapan hujan perlu ditingkatkan supaya data-data hujan yang lebih tepat dapat dipantau serta perlunya sistem penyampaian maklumat amaran yang efektif untuk memaklumkan kepada rakyat bencana yang bakal berlaku dan apa tindakan yang perlu di ambil.
Tragedi Disember bagai sudah dilupakan pihak bertanggungjawab, mungkin akan ada alasan baharu jika berlaku lagi bencana sama akibat kelalaian ketidaksiapsiagaan mereka.
Janganlah pisang berbuah dua kali, kerana yang susah adalah rakyat marhaen.