RANTAU PANJANG – Pekerja di sebuah stesen minyak di sini hari ini berdepan detik cemas selepas sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang sedang mengisi minyak secara tiba-tiba terbakar.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.35 pagi itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.36 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang telah dikejarkan ke lokasi untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.
“Bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi sebelum mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di situ.
“Kita mengambil masa selama tiga minit untuk mengawal kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – KOSMO! ONLINE.