KAKI drama pasti akan menikmati sajian pengalaman menarik hasil perjanjian jangka panjang Astro bersama penulis prolifik terkenal, Siti Rosmizah Semail menerusi syarikatnya, SR One Sdn. Bhd.
Membabitkan kolaboratif empat buah novel terlaris, perjanjian tersebut secara tidak langsung membuktikan kesungguhan stesen televisyen berkenaan menyajikan naskah berkualiti bersama barisan pelakon handalan demi kepuasan penonton.
Malah, usaha Astro ‘mengunci’ karya popular yang diangkat secara eksklusif turut menunjukkan kesungguhan dalam mengukuhkan kedudukan selaku hub kepada pembikin drama mahupun penyedia kandungan berprestij.
Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, sekali lagi Astro membuktikan kemampuan berdaya saing dalam industri yang amat kompetitif dengan membawa kandungan berkualiti tinggi dan premium.
“Kehadiran Siti Rosmizah yang konsisten memberi jiwa kepada slot drama dalam Astro nyata memberi impak kepuasan terhadap penonton akan berpuas hati dengan seleksi terutama yang ingin menyaksikan visual televisyen atau peranti mudah alih selepas membaca novel berkenaan.
“Bagi pihak Astro, kami berharap seleksi karya novelis prolifik itu mampu menarik ramai peminat drama ke platform kami yang menjanjikan kualiti produksi, arahan dan lakonan mantap,” katanya.
Majlis menandatangani persefahaman tersebut turut disaksikan Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario.
Selaku penulis dan pemilik karya asal, Siti Rosmizah pula berbesar hati dapat berkongsi visi dan misi bersama Astro bagi mencapai sasaran menerbitkan drama berkualiti, sekali gus mencecah rating tertinggi.
“Nyata maklum balas memberangsangkan menerusi drama nukilan saya yang terdahulu membuatkan saya senang bekerjasama dengan Astro, malah berbesar hati terus diberi ruang untuk berkarya.
“Setiap drama juga mempunyai kekuatan tersendiri sama ada garapan cerita mahu pun penonjolan karakter yang mewarnai lagi perjalanan kisah,” katanya.
Novel-novel yang terlibat dalam projek tersebut termasuklah Jangan Menangis Cinta lakonan Remy Ishak bersama Amyra Rosli, Andai Itu Takdirnya 1&2 (Shukri Yahaya dan Nina Iskandar).
Sebuah lagi karya yang bakal menyentuh hati ramai ialah Takdir Itu Milik Aku.
Keempat-empat naskah berkenaan bakal menemui penonton bermula tahun ini sehingga tahun 2023.
Naratif penulisan Siti Rosmizah yang berpaksikan pergolakan emosi menjadi nadi penceritaan hingga mampu menarik minat penonton apabila diadaptasi menjadi drama.
Adaptasi nukilan Siti Rosmizah menerusi platform Astro juga bukanlah sesuatu yang asing memandangkan sebelum ini setiap kali drama adaptasi novelnya disiarkan, pasti meraih rating tinggi yang konsisten.
Naskhah Lafazkan Kalimah Cintamu lakonan Farid Kamil bersama Nelydia Senrose Rose pernah diangkat sebagai Drama Top Rated 2018 disusuli Curi-Curi Cinta (Zahirah Mac Wilson dan Aiman Hakim Ridza) yang menjadi drama dengan capaian rating tertinggi untuk tahun berikutnya.
Rindu Awak Separuh Nyawa (Shukri Yahya dan Uqasha Senrose) pula meneruskan kecemerlangan apabila memperoleh rating tertinggi untuk 2021.