PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) ke atas kenderaan milik Orang Kelainan Upaya (OKU) akan dibuka untuk permohonan mulai esok.
MOT menerusi satu kenyataan berkata, pengecualian hanya diberikan kepada kenderaan motor diubahsuai dan tidak diubahsuai bagi Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional sahaja.
Menurutnya, kenderaan motor itu juga hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan atau dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU.
“Ia juga dipanjangkan kepada pasangan suami isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM,” katanya hari ini.
Katanya, mana-mana pemilik kenderaan yang terbabit yang telah melesenkan kenderaan mulai 1 Januari 2022, pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke kaunter JPJ untuk menyerahkan semula LKM dan berhak dibayar rebet dengan apa-apa amaun ditetapkan. – KOSMO! ONLINE