fbpx

Hezuawani bangkit bersama Arluna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hezuawani berdepan dengan pelbagai ujian getir sepanjang perjalanan hidupnya sebagai usahawan tetapi kembali bangkit berjuang dengan produk baharunya.

SHAH ALAM – Bermodalkan hanya RM500, pemilik nama Hezuawani Tasaruddin tidak me­nyangka rezeki masih menye­belahi dirinya dalam perniagaan.

Pengasas sabun Arluna itu bukan saja berjaya menjual le­bih 500,000 produk berkenaan, malah kini terus memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggannya di seluruh negara.

Namun, di sebalik kejayaan syarikat miliknya, Honeybella Enterprise (Honeybella), pelbagai dugaan dan ranjau terpaksa diharungi Hezuawani, 35, sepanjang diari hidup beliau.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu pernah menempuh detik hitam pada awal dunia perniagaan ketika menjual tudung dan pakaian kanak-kanak pada tahun 2017.

“Pada waktu itu, saya telah diduga dengan mengalami kerugian teruk apabila kedai dipecah masuk penjenayah. Pastinya ia meninggalkan seribu perasaan trauma untuk menjejakkan kaki ke premis berkenaan, tetapi demi kelangsungan hidup, ia perlu diteruskan,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Hezuawani yang enggan me­ngalah, mula beralih arah untuk mencari segmen perniagaan lain sebagai ikhtiar hidupnya dalam dunia yang penuh mencabar.

 

“Saya kemudian menghasilkan produk kosmetik, namun rugi hampir RM50,000 kerana kurang ilmu dalam bidang tersebut selain mudah mempercayai orang,” ujarnya.

Model bergambar dengan produk keluaran Honeybella yang telah berjaya menembusi pasaran tempatan.

Dugaan mendatang pada tahun 2018 telah menyebabkan semua wang simpanan ibu kepada seorang anak itu kehabisan dan meratapi kesedihan selama hampir lapan bulan lalu membuatkan beliau murung dalam mencari kekuatan diri untuk bangkit semula.

Sokongan suaminya, Mahadzir Nurmadzi, 37, menjadi penguat nadi dan Hezuawani bertekad kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan dalam arena perniagaan.

“Pada Ogos 2019, bermodalkan wang simpanan terakhir iaitu RM500 sahaja, saya menghasilkan produk sabun berjenama Arluna.

“Seperti mendapat sentuhan ‘magic’ dengan berkat doa dan sokongan daripada ke­luarga, sabun berharga RM15 itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ia berjaya di jual sehingga 15,000 unit pada bulan pertama,” jelasnya.

Tambah Hezuawani, sabun Arluna bukan hanya berdaftar dengan Kementerian Kesihatan malah produk itu mendapat pengesahan menerusi ujian makmal. Sabun itu diformulasi khas daripada khasiat lada hitam, ha­lia, serai wangi dan peppermint essential oil.

“Arluna amat bersesuaian untuk golongan ibu berpantang dan membantu membuang angin berlebihan.

“Ia turut berfungsi memberikan kesegaran (aroma­terapi), merawat masalah kulit, mencerah dan menghilangkan bau badan,” ujarnya.

Honeybella yang beribu pejabat di Sungai Petani, Kedah itu kini semakin berkembang dengan mempunyai seramai 500 ejen di seluruh negara.

Syarikat milik bumiputera itu menyasarkan mampu meraih hasil jualan berjumlah RM3 juta tahun ini susulan permintaan positif pelanggan di seluruh negara.

“Selain sabun Arluna, kami mempunyai produk krim terapi dan bakal memperkenalkan Arluna Skinz bagi penjagaan wajah tidak lama lagi.

“Semua produk kami dijual pada harga mampu milik, namun kualitinya setan­ding produk berjenama mahal di pasaran.

“Sasaran pelanggan pula terdiri daripada wanita dan lelaki,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hezuawani berharap empayar perniagaannya kini dapat membantu usahawan yang mahu kembali bangkit dalam perniagaan ekoran terjejas dek pandemik dua tahun lalu.

Beliau sentiasa memberi peluang kepada usahawan baharu menjadi ejen untuk menambah pendapatan bulanan ketika berdepan dengan persekitaran ekonomi yang sukar kini.

Katanya, ia bertepatan dengan misi Honeybella untuk berkongsi rezeki dengan semua pihak terutama golongan kurang berkemam­puan menerusi penjualan produk. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI