JAKARTA – Satu gempa bumi kuat melanda pantai barat pulau Sumatera awal pagi ini dan menyebabkan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Gempa sekuat 6.7 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 4.06 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 21 kilometer (km). Pusat gempa pula berada pada 167 km barat bandar Pariaman, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
“Gegaran gempa terasa selama satu minit pada kadar sederhana. Orang ramai yang panik keluar meninggalkan kediaman masing-masing.
“Gegaran itu diikuti oleh beberapa gegaran susulan yang kuat,” kata Badan Nasional Tindakan Bencana (BNPB).
Pusat Amaran Tsunami Pasifik sebelumnya memberi amaran bahawa gempa bumi tersebut berpotensi menyebabkan berlakunya tsunami, namun kemudiannya menarik balik amaran tersebut.
“Berdasarkan laporan terbaharu, tiada kerosakan atau mangsa, namun kami akan terus membuat pemantauan. Gegaran masih kuat dirasai di pulau Nias Selatan,” kata Ketua Mencari dan Menyelamat Nias, Agus Wibisono. – AFP