fbpx

Dua budak maut motosikal ditunggang langgar tiang elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat kedua-dua mangsa terbaring di tepi jalan di Kampung Terus, Penanti di Bukit Mertajam selepas terbabit kemalangan hari ini.

SEBERANG PERAI – Dua kanak-kanak lelaki terkorban selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di kawasan sawah padi di Kampung Terus di Penanti, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa yang dikatakan berusia 12 tahun itu maut di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus, Baharuddin Abdullah, beliau menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 2.30 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, beliau mendapati mayat kedua-dua kanak-kanak itu berada di atas rumput di bahu jalan selepas tercampak dari motosikal yang dipercayai ditunggangi mereka.

“Mangsa bukan penduduk kampung di sini dan mereka dikatakan masuk meronda dengan menunggang sebuah motosikal sebelum terbabit kemalangan.

“Kawasan ini memang banyak orang datang bersiar-siar (dengan motosikal) sebab jalan raya lurus dan untuk tengok pemandangan sawah padi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Baharuddin berkata, pihak polis yang tiba di lokasi kejadian telah membuat pemeriksaan sebelum mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini.

Sementara itu, beberapa video memaparkan mayat dua kanak-kanak yang memakai baju berwarna merah terbaring di atas rumput tular di media sosial hari ini.

Salah satu video turut memaparkan beberapa individu mengutip cebisan dipercayai otak mangsa sebelum dimasukkan ke dalam bungkusan plastik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian disyaki berlaku apabila sebuah motosikal terbabas sendiri dan melanggar tiang elektrik sebelum mangsa tercampak ke kawasan semak di kiri jalan.
“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI