KUALA LUMPUR – Suasana cemas apabila dua individu terperangkap dalam kebakaran di tingkat 3 sebuah premis rumah kedai di Jalan Desa Jaya, Taman Desa, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.23 pagi tadi.
“Seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, BBP Hang Tuah, BBP Bukit Jalil, BBP Wangsa Maju bersama tiga buah jentera serta Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kita mendapati berlaku kebakaran melibatkan bangunan rumah kedai yang mana seorang mangsa lelaki serta wanita terperangkap di bahagian tepi bangunan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, susulan itu bomba bertindak memasang tangga jentera pada bahagian tepi bangunan dan berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.46 pagi dan api telah memusnahkan keseluruhan premis terbabit.
“Punca sebenar kebakaran dan anggaran keseluruhan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE