JOHOR BAHRU – Persoalan mengenai siapa calon Menteri Besar Johor ke-19 terus menjadi tanda tanya setelah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tergesa-gesa meninggalkan Bangunan UMNO, sebentar tadi.
Turut meninggalkan bangunan tersebut ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad kira-kira pukul 4.30 petang.
Ahmad Zahid, Mohamad dan Hasni dengan wajah yang serius tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pengamal media yang berkumpul di bangunan sebelum menaiki kenderaan berasingan meninggalkan kawasan tersebut.
Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin tersebut bergerak ke kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid hadir ke Bangunan UMNO pukul 2.30 petang bagi mengadakan pertemuan bersama Mohamad dan Hasni sebelum meninggalkan premis pukul 2.50 petang untuk menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Setelah hampir satu jam menghadap Sultan Johor, Ahmad Zahid kembali semula ke Bangunan UMNO untuk menyambung perbincangan bersama Mohamad dan Hasni.
Perbincangan itu tamat lebih awal setelah ketiga-tiga figura itu meninggalkan bangunan tersebut dan cubaan pihak media mendapatkan komen mereka turut gagal.
Terdahulu, Hasni memberitahu, pelantikan Menteri Besar Johor ke-19 adalah bergantung kepada hasil pertemuan Pengerusi BN menghadap Sultan Ibrahim, petang tadi.-KOSMO! ONLINE