PETALING JAYA – Pengambilan garam secara berlebihan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan kepada diri terutamanya melibatkan penggunaan atau pemakanan produk yang berasaskan bahan tersebut.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia, pihaknya menggesa penjual produk berasaskan garam buluh terutamanya untuk segera menghentikan aktiviti pemasaran berlebihan dengan menyatakan bahan tersebut membantu merawat penyakit.
“Jika anda adalah penjual produk berasaskan garam buluh, mohon hentikan aktiviti pemasaran berlebihan dengan menyatakan ia sebagai bahan untuk merawat penyakit.
“Garam buluh, garam himalaya, garam kosher dan garam laut adalah sejenis garam dan ia mengandungi kandungan Natrium yang hampir sama. Oleh itu pengambilan harian perlu terhad dan tidak melebihi satu sudu teh sehari,” tulisnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut portal tersebut, garam buluh adalah sejenis garam biasa yang dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar selama enam hingga lapan jam.
“Ia mungkin lebih bersih dan mengandungi kandungan potasium yang lebih tinggi, namun ia tetap sejenis garam dan tidak mempunyai kesan untuk merawat penyakit kronik.
“Sebelum ini pernah terjadinya kes melibatkan seorang pelajar universiti yang berusia 20 tahun telah dikejarkan ke bahagian kecemasan setelah mengalami muntah berterusan melebihi 10 kali dan cirit birit untuk tempoh dua hingga tiga jam,” ujarnya.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati tubuh badannya lemah dan paras garam Sodium terlalu tinggi disebabkan beliau telah mengamalkan pengambilan garam buluh sebanyak 150 gram setiap hari selama 10 hari untuk membantu penghadaman dan mengurangkan berat badan.
Dalam pada itu, pihaknya memaklumkan mengenai pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi.
“Jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta penyakit angin ahmar,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE