fbpx

Pencarian pendaki hilang gagal kesan petunjuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANJING dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba digunakan dalam operasi mencari pendaki warga emas di Puncak Jelapang, Ipoh hari ini.-IHSAN JBPM.

IPOH – Tiada sebarang petunjuk ditemui pasukan penyelamat setakat pukul 6 petang hari ini dalam operasi mencari lelaki warga emas yang hilang semasa aktiviti pendakian di Puncak Jelapang di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, operasi hari kedua meliputi sektor A dan B serta sebahagian sektor D membabitkan laluan berbatu dan curam.

“Setakat ini, kita masih tiada petunjuk baharu meskipun telah mengikuti trek yang digunakan mangsa serta laluan alternatif yang mungkin digunakan pendaki di kawasan itu.

“Malah, dron dari Unit Dron Bukit Aman
yang digunakan dalam operasi pada hari kedua juga gagal mengesan kedudukan sebenar mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi ditangguhkan dan akan disambung esok dengan memberi tumpuan pada sektor C iaitu satu lagi laluan alternatif ke laluan utama berhampiran sebuah tokong.

“Selain bomba dan polis, operasi turut disertai 11 pegawai dan anggota dari Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela Chemor serta 35 rakan mangsa dari pasukan pendaki, Harrier House,” katanya.

Kehilangan mangsa, Lau Sam, 84, disedari ahli kumpulannya sekitar pukul 6.30 petang kelmarin, setelah didapati tidak tiba di kaki bukit.

Mangsa yang menyertai pendakian bersama tujuh rakannya itu merupakan seorang yang mahir dalam aktiviti tersebut dan telah biasa datang ke lokasi berkenaan.

Kali terakhir mangsa dilihat saksi adalah pada ketinggian 285 meter dari aras laut ketika sedang menuruni bukit. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI