KUALA LUMPUR – Seorang wanita terpaksa menanggung kerugian besar berjumlah RM150,000 selepas rumahnya dipecah masuk di Jalan Kampung Pasir, di sini Isnin lalu.
Difahamkan, mangsa yang berusia 37 tahun dimaklumkan oleh suaminya melalui panggilan telefon mengenai kejadian dan pengadu bergegas pulang ke rumah serta mendapati mangga yang dipasang di pintu grill telah hilang dan tingkap di dalam bilik air kediamannya dalam keadaan terbuka.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa harta benda milik mangsa hilang termasuk beg tangan berjenama, pelbagai jam tangan berjenama, peralatan elektronik, komputer riba dan barangan kemas.
“Turut dilaporkan hilang wang tunai berjumlah RM100,000, dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan mencecah RM150,000.
“Sebaik menyedari kejadian kes pada 7 Mac lepas pada kira-kira pukul 4.50 petang, mangsa yang berusia 37 tahun telah membuat laporan polis pada pukul 6.14 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah membuat tangkapan ke atas tiga suspek pada pukul 3.15 pagi semalam.
“Dua suspek merupakan lelaki tempatan berumur 31 dan 40 tahun serta perempuan tempatan berumur 35 tahun.
“Salah seorang daripada tiga suspek yang ditangkap mempunyai 23 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah,” jelasnya.
Tambahnya, pihak polis juga turut merampas barangan kes seperti, sembilan utas jam tangan berjenama, seutas rantai leher, sebuah kenderaan jenis Honda Accord bersama serangkai kunci dan sebuah jenis motosikal Yamaha jenis Y15ZR berserta kunci motosikal.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE