LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir lima bot nelayan asing yang dikesan cuba menceroboh perairan negara dekat Pulau Perak, Kedah semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM memberitahu, kapal KD Gagah Samudera yang melakukan Ops Benteng melakukan tindakan terhadap bot nelayan tersebut yang dipercayai cuba mengaut hasil laut negara.
“Terdahulu, pesawat CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia berjaya mengesan lima bot tersebut kira-kira 16 batu nautika di sempadan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara.
“Maklumat pengesanan segera Komander Komponen Maritim (MCC) Barat yang seterusnya mengarahkan KD Gagah Samudera segera menuju ke lokasi yang dilaporkan,” kata kenyataan itu.
Setiba di lokasi tersebut kira-kira pukul 10 pagi, KD Gagah Samudera mengesan terdapat lima bot nelayang asing sedang bergerak cuba memasuki perairan negara.
Jelas kenyataan itu, tindakan pantas pasukan menggeledah KD Gagah Samudera telah berjaya memintas dan menghalang pergerakan kelima-lima bot tersebut seterusnya mengusir keluar.
“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas antara kesemua agensi berjaya menghalang pencerobohan,” ujar kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE