fbpx

Tanah Runtuh: Penduduk gusar berlaku gelongsoran tanah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan gelongsoran tanah baharu di Taman Bukit Permai 2 yang berlaku petang semalam.

AMPANG – Insiden gelongsoran tanah baharu berlaku di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pukul 7 petang semalam mengundang kebimbangan penduduk berhampiran yang terpaksa mengosongkan rumah dalam jangka waktu lama.

Hasil tinjauan Kosmo! mendapati penduduk di sini dilihat mula mengosongkan kediaman mereka selepas insiden gelongsoran tanah terbaharu yang berlaku semalam selepas kejadian tanah runtuh pada Khamis lalu.

Menurut salah seorang penghuni kediaman terbabit, Azril Sham Mohamad, 50 berkata, dia telah berpindah dari rumah pada Khamis lalu namun datang setiap hari untuk mengambil barangan serta mengemas pakaian.

“Saya memilih untuk tinggal di hotel dan mula mencari rumah sewa hari ini bagi menjimatkan kos selain persiapan supaya dapat tinggal lebih lama ekoran kerja pembaikan sedang dijalankan.

“Keluarga dan saya sedar akan kewujudan pusat pemindahan sementara (PPS) namun berasa tidak selesa kerana bimbang penularan Covid-19 di pusat terbabit.

“Selain itu, keadaan cuaca mendung serta hujan dikhuatiri mencetuskan gelongsoran tanah yang boleh menjejaskan kawasan rumah,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui hari ini.

Walaubagaimanapun, kebanyakan penghuni kediaman yang tinggal kira-kira 50 hingga 100 meter dari lokasi kejadian masih tinggal di rumah masing-masing.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan MPAJ Cheras Baru bagi membantu penduduk di Jalan Permai 1 dan Taman Bukit Permai yang diarahkan berpindah, di sini malam tadi.

“Sehingga kini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan belum menerima penduduk yang mendaftar untuk menginap di PPS yang dibuka itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sebarang bentuk tindakan lanjut melibatkan insiden tanah runtuh di kawasan terbabit akan dibincangkan esok.

“Laporan pasukan teknikal berhubung keselamatan cerun dan kestabilan tanah di lokasi kejadian akan dibentangkan esok oleh agensi teknikal berkaitan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI