fbpx

PRN Johor bukan penentu PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri merasmikan BLKM di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan menjadi faktor penentu untuk pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keputusan mengadakan PRU akan dilakukan selepas melihat pelbagai faktor termasuklah persediaan parti serta perbincangan dengan pimpinan parti.

“Sebab itu saya katakan tadi setiap keputusan, kita akan bincang dalam parti, tidak boleh ada satu kumpulan kecil hendak PRU, kita buat PRU kerana semua keputusan perlu dibincangkan secara serius dalam parti.

“Kita tunggu masa sesuai, parti sudah boleh berbincang dan apabila kita rasa sudah bersedia maka bolehlah (diadakan PRU-15 diadakan),”katanya dalam sidang akhbar selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim.

Semalam dalam PRN Johor, BN berjaya memperolehi majoriti melepasi dua pertiga selepas meraih 40 kerusi, manakala Perikanan Nasional (PN) mendapat tiga kerusi, DAP (sembilan kerusi), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (1), Parti Amanah Negara (1) dn PKR (1).

Susulan kemenangan besar itu menyaksikan laungan ‘bubar parlimen’ oleh penyokong BN bergema ketika Perdana Menteri berada di bangunan UMNO Johor semasa pengumuman kemenangan gabungan tersebut.

Menurut Ismail Sabri, keputusan untuk mengadakan PRU tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan perlu dibincangkan secara serius dalam parti serta turut melihat kepada pandangan pelbagai pihak.

“Ini merupakan satu perkara yang susah, pilihan raya ini, jadi parti akan bincang dan buat keputusan dan selepas itu mungkin beberapa perkara lain perlu dibuat, ada prosedur bukan setakat kita sahaja tetapi segi prosedurnya saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi nasihat dan kalau diperkenan baru boleh,”ujarnya.

Dalam pada itu mengulas mengenai kemenangan BN dalam PRN Johor beliau berkata, ia merupakan kemenangan di luar jangkaan yang menunjukkan kepercayaan rakyat kepada BN.

Katanya, kemenangan tersebut menunjukkan rakyat telah menilai selepas membuat perbandingan antara pemerintahan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya harap selepas kemenangan ini tidak ada perpecahan sesama rakyat di Johor, kita perlu kerajaan yang stabil membangunkan Johor, semua pihak menang atau kalah kena sokong kerajaan negeri membangunkan negeri Johor demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada PRN Johor akan menjejaskan hubungan dalam Kabinet Keluarga Malaysia beliau yakin Kabinet Keluarga Malaysia adalah profesional khususnya melibatkan dasar dan kepentingan negara.

“Waktu PRN Melaka sebelum ini pun kita bertembung, kita tidak bawa soal Kabinet di situ, saya percaya apa yang berlaku di Johor kita tidak bawa dalam Kabinet,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI