JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) diingat agar tidak berasa terlalu bangga dengan kemenangan diraih mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kejayaan itu dicapai dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hal itu kerana kira-kira 40 peratus lagi pengundi Johor yang layak tidak keluar mengundi, selain sebahagian yang mengundi juga tidak menyokong mereka.
Katanya, walaupun Pejuang tidak menang di kesemua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka, pihaknya tetap menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.
“Kita merasakan keputusan ini sedikit mengecewakan, namun begitu kita tetap akan terima dengan sepenuh hati dengan keputusan yang dibuat rakyat negeri ini.
“Pada waktu yang sama, saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor khususnya yang mengundi calon kami, begitu juga ucapan terima kasih kepada jentera parti dari dalam dan luar Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Pejuang di Taman Seri Setanggi di sini, lewat malam semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun itu turut memberitahu, PRN Johor adalah permulaan buat Pejuang dalam memperkenalkan parti itu kepada rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
“Pejuang masih baharu, tidak sampai tujuh bulan lagi ia didaftarkan, jadi ramai pihak masih belum kenal termasuklah logo parti kerana ia terlalu singkat.
“Kita juga akui banyak kelemahan dan ianya akan terus diperbaiki pada masa depan, perkara ini tidak akan meminta semangat khususnya dalam perjuangan menentang gejala rasuah,” ujarnya.
Tambah Mukhriz, pihaknya akan menyusun strategi lebih baik dalam usaha menambat hati rakyat kerana banyak perkara yang dapat dipelajari partinya menerusi kempen PRN Johor ini.
“Kita tidak melihat PRN sebagai medan ujian atau populariti, sebaliknya perjuangan kami adalah untuk menubuhkan kerajaan negeri jika diizinkan, namun itu tidak menjadi dan kita ambil sebagai iktibar,” jelasnya lanjut.- KOSMO! ONLINE