KEHIDUPAN ini tertakluk pilihan seseorang dan apa yang direncanakan tidak mampu untuk mengukir senyuman atau memuaskan hati semua orang.
Berdiri sebagai figura popular sebenarnya memberi akses mudah untuk orang berkata-kata. Atas alasan tersebut, pemilik nama lengkap, Raja Alicia Raja Amin memilih untuk hidup dalam sisi autentik kendatipun kebanyakan masa dihambur dengan kata nista orang sekeliling.
Semakin usia kian bercambah, semakin Alicia, 27, matang mendepani kehidupan sebagai anak seni. Orang ingin melemparkan pendapat dirinya bukanlah satu teladan yang baik, baginya, itu terpulang pendapat masing-masing.
“Saya rasa sewaktu saya mula bertatih dalam industri, kalau tercetus kontroversi melibatkan diri, saya akan bersuara dan akan bergaduh dengan alasan ingin mempertahankan identiti diri.
“Sampailah satu tahap, pendekatan yang diambil itu membuatkan situasi menjadi lebih buruk.
Masih seksi, bela anjing
“Sekarang rasanya sudah penat bergaduh dengan semua orang dan bising sana sini. Bukan bermakna saya ‘tone down’ dari segi itu. Saya masih seksi, masih badan bertatu dan masih bela anjing di rumah. Tiada apa yang berubah.
“Cuma sekarang ini dengan peredaran usia dan kehidupan, saya tidak ada kudrat nak bergaduh dengan semua orang.
“Saya percaya sekarang saya mengambil pendekatan lebih matang dalam berdepan sebarang situasi,” kata Alicia yang bakatnya dalam bidang peragaan mula dihidu usai terlibat program realiti, Asia’s Next Top Model musim kelima pada 2016.
Menderaskan bicara, isteri kepada doktor bernama Farzan Iqbal berkata, sekarang ini, tidak semua perkara terkait sensasi dan kontroversi akan meludahkan energi jahat kepadanya.
Bukan bermakna tidak endahkan pendapat orang sekeliling, tetapi sebenarnya kritikan orang tidak selalunya membantu.
“Sekarang ini, saya tak kisah orang nak cakap apa tentang saya. Bukan maksud saya, peminat atau pendapat mereka tidak penting.
“Masyarakat kita lebih sibuk nak jaga imej atau reputasi berbanding diri kebajikan sendiri. Itu apa yang saya nampak dan semua itu sudah jadi satu budaya di sini.
“Saya nak maklumkan, biarpun ramai mengecam tidak bersetuju dengan pendekatan saya, pada masa sama, ada sahaja golongan ‘kakak bertudung’ hantar direct message (DM) secara peribadi cakap ‘saya suka awak kerana awak jujur dengan diri sendiri’.
“Orang suka atau tak suka, siapa dan apa yang saya lakukan, saya cuma boleh cakap, saya tak boleh sembunyikan diri dan itu bukan saya,” tutur pelakon filem The Disappearance Of Irdina Adhwa itu.
‘Bertatu, agama’
Sebagaimana dirinya berhak mencorakkan jalan hidup sendiri, sebegitu juga hak sama untuk orang bercakap sesuatu tentang dirinya. Apatah lagi. Alicia kini memegang status sebagai selebriti.
“Saya satu entiti yang bersifat independen atau bebas. Pendapat orang akan datang dan pergi.
“Saya anggap berdepan situasi kecaman macam atas ‘runaway’ (pentas peragaan) – jalan sahaja. Orang nak cakap atau kecam, itu hak mereka dan saya hormat.
“Mereka nak maki saya, makilah kerana selagi saya tak sakitkan hati orang dan susahkan hidup orang, saya okey sahaja. Saya buat hal sendiri,” getusnya.
Ditebak pertanyaan tentang tatu di badan, Alicia tidak melenting dan mengelak daripada membentangkan jawapan.
Ungkapnya, ramai orang bertanyakan mengapa seorang wanita Muslim sepertinya melakukan perkara yang ditegah agama, namun tidak pernah ada meminta penjelasan mengapa dirinya berpenampilan sedemikian.
“Ramai fikir saya bertatu bermakna saya benci agama. Mereka tak pernah tanya alasan mengapa saya memiliki tatu.
“Saya budak ‘art’. Saya sukakan lukisan, saya suka visual dan benda-benda lawa. Ada orang suka tindik itu ini dan barangkali melukis. Itulah, kadang-kadang kita buat benda yang kita suka tak semua orang akan setuju.
‘Silap orang, baik berselawat’
“Beginilah, setiap orang ada cita rasa masing-masing. Ada orang hobi mereka pergi memancing, saya tak suka tapi saya hormat minat orang.
“Situasi saya membiarkan atau membenarkan saya untuk buat benda-benda yang saya suka. Saya bertuah. Macam saya cakap tadi, orang nak hakimi pendirian saya, itu terpulang kepada mereka asalkan saya tak kacau hidup orang,” katanya.
Pesan Alicia, buat golongan yang berasakan diri mereka maksum atau bebas daripada melakukan sebarang dosa dan hanya melihat perkara buruk dalam diri orang lain, pergilah buat kerja lain.
“Hidup ini senang, banyak pilihan. Kalau tak suka, tukar saluran, teruskan ‘scroll’ atau ‘mute’. Tiada siapa memaksa anda untuk melihat apa-apa.
“Kalau seseorang itu sibuk tentang saya, tengok apa saya bikin walaupun mengaku tak suka, saya sendiri tak tahu nak tangani macam mana. Sendiri fikir.
“Dan, untuk golongan yang ‘dekat’ dengan agama, saya percaya banyak benda mereka nak buat – beribadat, jaga kelakuan dan sebagainya. Kalau betul semua itu, patut luang waktu yang ada untuk perbaiki diri.
“Di dunia ini, tiada manusia yang sempurna. Sesiapa yang ada masa cari silap orang dan bergosip, cuba guna waktu untuk diri sendiri. Daripada sibuk mengata orang sibuk itu ini, lebih baik berselawat,” tutup Alicia penuh sinikal seraya melemparkan senyuman.