SEREMBAN – Perbincangan antara Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan bagi mencari mekanisme terbaik membolehkan pesakit Covid-19 tidak dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan tanpa menafikan hak pengundi yang telah dijangkiti selain tidak memudaratkan pula individu lain.
“Ya, memang hak mereka untuk mengundi tetapi satu lagi ialah hak rakyat untuk tidak dijangkiti dan tidak dimudaratkan kesihatan mereka. Bagi mengimbangi hak ini, kita kena cari apakah kaedah yang terbaik.
“Memang ada banyak cara cuma saya bangkitkan cabaran yang kami hadapi, kalau mahu buat boleh, mungkin kita perlu duduk berbincang dengan SPR selepas. Kalau dipanggil Pilihan Raya Umum (PRU) pun, akan ada orang positif Covid-19.
“Kita kena fikirkan macam mana kita mahu benarkan untuk mengundi, itu cabarannya dan saya akan berbincang dengan SPR, adakah satu mekanisme yang selamat, boleh diwujudkan nanti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian pada Program Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di Pasar Raya Mydin Senawang di sini.
Menurut Khairy, ada pihak yang mencadangkan supaya diwujudkan satu pusat mengundi khas untuk pesakit Covid-19 termasuk ia diadakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
“Tetapi saya mahu beritahu, 96 peratus daripada kes positif sekarang, mereka duduk di rumah, bukan pergi ke PKRC. Persoalan juga sekarang, kalau wujud pusat pengundian untuk individu positif Covid-19, bagaimana mereka mahu pergi ke pusat pengundian tersebut.
“Kalau mereka boleh bawa kenderaan sendiri tidak mengapa tetapi kalau perlu naik kenderaan orang lain, siapa yang mahu bawa mereka. Dia boleh mudaratkan ahli keluarga dan individu lain,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan sebanyak 54 kompaun membabitkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam.
“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan perjalanan PRN Johor, saya rasa SOP yang ditetapkan telah dipatuhi dengan baik. Sebanyak 54 kompaun telah dikeluarkan kepda mereka yang betul-betul langgar SOP.
“Saya telah minta supaya penguat kuasa gunakan budi bicara, sebagai contoh ada satu kompaun yang telah dikeluarkan kepada pemberita yang telah saya batalkan kerana bagi saya ia tidak dapat dielakkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, keadaan kesihatan awam negara perlu diberi peluang untuk kembali stabil sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sesuai diadakan.
Khairy Jamaluddin berkata, walaupun negara memasuki fasa peralihan ke endemik namun tindakan perlu masih perlu diambil apatah lagi PRU merupakan aktiviti yang melibatkan orang ramai.
“Walaupun kita masuk ke fasa peralihan ke endemik tidak bermaksud pandemik sudah tamat, kita masih lagi perlu berhati-hati. Sempadan negara dibuka, saf boleh dirapatkan, hak maksimum kapasiti dimansuhkan tetapi itu tidak bermaksud kita boleh buat apa sahaja.
“Kita baru selesai (PRN) Johor, saya lebih suka kita tunggu sehingga keadaan kesihatan awam kita stabil, barulah kita boleh melihat kepada pilihan raya umum,” katanya. – KOSMO! ONLINE