KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang cuba melarikan diri dengan memandu secara bahaya sejauh kira-kira dua kilometer (km) sehingga merosakkan beberapa kenderaan dan gerai di Wangsa Maju dicekup polis tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian berlaku pada 12.15 tengah malam ketika pasukan anggota Balai Polis Jalan Tun Razak melakukan rondaan cegah jenayah sekitar Taman Tasik Titiwangsa sebelum melihat sebuah Toyota Harrier diparkir dan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuantan, di sini.
“Polis kemudian memperkenalkan diri dan menghampiri kenderaan itu untuk tujuan pemeriksaan, namun suspek bertindak melarikan diri dengan kaedah pemanduan agresif dan bahaya.
“Ia menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan dan gerai di kawasan berkenaan, sebelum polis mengekori kenderaan suspek kira-kira dua km hingga Jalan Ayer Embun berdekatan Masjid Ibnu Sina Titiwangsa.
“Pemandu kenderaan berjaya ditahan, bagaimanapun penumpangnya melarikan diri. Pemeriksaan terhadap suspek menemui beberapa barang disyaki hasil kegiatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Habibi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan jenayah lampau.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) kerana menakutkan penjawat awam ketika menjalankan tugas, Seksyen 186 KK (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) serta Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (gagal mengemukakan pengenalan diri semasa pemeriksaan dilakukan).
“Pemilik gerai dan kenderaan dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) itu serta saksi awam dimohon untuk tampil memberikan maklumat berkenaan kes ini atau boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Chew Lai Chang di talian 012-2749097 atau pengawai penyiasat, Inspektor Abdul Hakeem Abdullah melalui talian 012-9225687 bagi membantu siasatan.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2146 0584/0585) atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.