LONDON – Pegawai-pegawai kerajaan Britain didakwa secara rahsia sedang mengumpulkan data mengenai kebarangkalian terdapat penemuan berkaitan makhluk asing, lapor akhbar Daily Star semalam.
Seorang individu memberitahu Daily Star bahawa dia dikunjungi dua pegawai kerajaan selepas melaporkan terlihat kelibat sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) kepada polis.
Lelaki itu enggan mendedahkan identitinya kerana bimbang sesuatu akan berlaku kepada keluarganya selepas mendakwa dia dilawati oleh lelaki menyerupai ejen risikan makhluk asing seperti dalam filem Men in Black.
“Saya melihat bola berwarna oren gelap di langit. Pada mulanya saya fikir ia adalah helikopter atau pesawat yang bermasalah. Tetapi, ia tidak jatuh ke tanah, sebaliknya hanya berlegar-legar di udara.
“Saya agak terkejut dan keliru. Saya fikir ia adalah UFO. Saya pulang ke rumah dan mencari laman web untuk melaporkan penampakan UFO tetapi gagal, lalu menghubungi polis,’’ jelasnya.
Menurutnya, dua lelaki yang mengatakan bahawa mereka adalah pegawai kerajaan tiba di rumahnya kira-kira 10 hari kemudian untuk mendapatkan maklumat berkenaan perkara itu.
Penyiasat UFO kerajaan Britain, Nick Pope bagaimanapun telah menafikan khabar angin mengenai siasatan oleh Kementerian Pertahanan berkaitan UFO. – Agensi