KOTA BHARU – Kerajaan akan mengumumkan jumlah kuota dan kos terkini untuk jemaah haji pada awal bulan depan susulan daripada pengumuman kerajaan Arab Saudi yang melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di negara itu baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau juga menunggu maklumat lengkap daripada Menteri Agama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang akan bertemu dengan kerajaan Arab Saudi pada 18 Mac ini.
“Beliau (Idris) akan ke Arab Saudi atas jemputan yang berlangsung pada 18 hingga 27 Mac bagi membincangkannya mengenai perkara itu (kuota dan kos haji). Sehubungan dengan itu, pengumuman akan dibuat pada April ini.
“Selepas itu, baru kita dapat pencerahan yang sebenar berkaitan dengan SOP dan juga mungkin melibatkan pengumuman kosnya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kali Ke-6 di Kompleks Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 92 graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Multimedia, Diploma Pengajian Al-Quran Dan As-Sunnah dan Diploma Syariah menerima sijil diploma selepas menamatkan pengajian di KTD.
Hadir sama, Ketua Eksekutif KTD, Dr. Nik Kamarulzaman Awang Teh @ Abdullatiff.
Mengulas lanjut, Marzuk memberitahu, selepas pengumuman mengenai kos dan kuota haji, kerajaan akan menekankan aspek SOP terkini yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi sebelum menghantar jemaah haji. – KOSMO! ONLINE