PUTRAJAYA – Sebanyak 367,522 kes atau 9.9 peratus daripada 3,711,199 kes Covid-19 yang dilaporkan dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac lalu melibatkan jangkitan terhadap warga emas.
ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama, sebanyak 19,250 atau 57.4 peratus kematian yang dilaporkan dalam tempoh tersebut adalah dalam kalangan golongan itu.
Menurutnya, berbanding kumpulan umur yang lebih muda (kumpulan umur kurang 60 tahun), jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi.
“Warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 dengan komplikasi teruk akibat jangkitan tersebut.
“Ini adalah kerana daya tahan tubuh yang rendah, penyakit kronik dihidapi oleh warga emas dan proses penyembuhan serta pemulihan daripada jangkitan Covid-19 juga lebih perlahan dan rumit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kadar kematian warga emas juga lebih tinggi berbanding dengan golongan yang lain.
Dr. Noor Hisham berkata, bermula 25 Januari 2020 hingga 3 Mac lalu, 154 (39.6 peratus) kluster di pusat jagaan warga emas telah dilaporkan dan ia penyumbang tertinggi berbanding kluster-kluster kumpulan berisiko yang lain seperti kluster di pusat jagaan kanak-kanak, pusat dialisis dan sebagainya.
“Warga emas yang berada di pusat jagaan juga terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang mana jangkitan mungkin menjadi tidak terkawal jika penghuni dan penjaga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Golongan ini lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kematian akibat Covid-19 berbanding warga emas dalam komuniti,” katanya. – KOSMO! ONLINE