KLANG – Tindakan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Selangor mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.
Kapal MT P. Yanbu yang berdaftar di Greece itu ditahan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan, dekat sini, pukul 2.10 petang.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya menjalankan rondaan rutin Op Ehsan di sekitar perairan berkenaan.
Katanya, kapal yang sedang berlabuh di luar batas Pelabuhan Klang itu dikesan hasil maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah.
“Kapal tangki itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.
“Seramai 25 kru kapal termasuk nakhoda berusia 26 hingga 50 tahun turut diperiksa dan kesemua warga Filipina itu memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohammad Rosli, siasatan mendapati pelabuhan terakhir kapal itu dari Singapura menuju ke Fujairah, Emeriah Arab Bersatu (UAE).
“Perintah penahanan ke atas kapal itu sudah dikeluarkan untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi membantu siasatan,” katanya. -KOSMO!ONLINE