fbpx

Deltacron belum atasi mana-mana varian lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WALAUPUN kes Deltacron telah dikesan di Britain, saintis-saintis dan pegawai kesihatan berkata bahawa ia belum menjadi sesuatu yang membimbangkan. - AFP

LONDON – Saintis-saintis menyifatkan laporan berkaitan penularan varian hibrid Covid-19, Omicron dan Delta yang sedang merebak ke seluruh dunia belum berada pada tahap membimbangkan, lapor portal berita MailOnline kelmarin. 

Kebimbangan mengenai Deltacron dibangkitkan semula minggu ini selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa varian itu telah dikesan di Perancis, Belanda dan Denmark.

Bagaimanapun, Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) yang menjejaki varian berkenaan selama berminggu-minggu hanya menemukan 32 kes domestik. 

Walaupun varian hibrid itu dilihat boleh merebak antara manusia, pakar dan pihak berkuasa kesihatan mengesahkan bahawa ia tidak merebak pada kadar yang membimbangkan dan tidak mungkin mengatasi varian dominan, Omicron.

Pakar virologi Universiti Reading, Profesor Ian Jones berkata, sukar untuk melihat varian hibrid itu mengatasi subvarian Omicron, BA.2 yang kini dominan.

“Omicron menggantikan Delta, jadi varian hibrid adalah terkebelakang dan tidak mungkin lebih memberi ancaman,’’ katanya kepada akhbar The Times.

Beliau menambah, melainkan jika pemantauan menunjukkan bahawa ia boleh menjadi ancaman, maka ia tidak memerlukan perhatian yang khusus.

Ahli mikrobiologi dari Universiti Warwick, Profesor Lawrence Young memberitahu portal berita MailOnline bahawa ia tidak mungkin mengakibatkan kesan jangkitan yang teruk.

“Memadangkan imuniti dalam populasi berkurangan dan semua sekatan dihapuskan, Deltacron akan menular tetapi tidak mungkin akan mengakibatkan kesan jangkitan yang teruk.

“‘Subvarian BA.2 kini merebak di Britain dan lebih mudah ditularkan berbanding varian Omicron asal,’’ jelas beliau.

Tambah beliau, walaupun tidak diketahui bagaimana Deltacron akan bersaing dengan BA.2, tiada ruang untuk semua pihak berpuas hati. Sebaliknya, kata Young, adalah penting untuk meneruskan vaksinasi Covid-19 termasuk menyuntik dos penggalak kepada warga emas dan golongan yang berisiko tinggi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI