fbpx

BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SA. Vigneswaran (tengah) menyampaikan komputer riba kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Pendidikan India Negeri Perak di Bangunan Barisan Nasional (BN) Sungai Siput hari ini. -ZULFACHRI ZULKIFLI.

SUNGAI SIPUT – Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu ke Mahkamah Tinggi ekoran calonnya daripada MIC tewas dengan majoriti kecil.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, petisyen bagi tujuan kiraan semula itu juga dibuat berikutan jumlah undi rosak bagi DUN berkenaan terlalu tinggi iaitu lebih 600 kertas undi.

Katanya, jumlah kertas undi rosak itu mengatasi undi majoriti yang diperolehi calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern sebanyak 137 undi.

“Saya diberitahu, lebih 600 undi rosak dan kita telah pun membuat bantahan tetapi difahamkan bantahan itu perlu dibuat mengikut saluran-saluran tertentu.

“Jadi, kita akan membuat rayuan kepada mahkamah supaya kita boleh memastikan pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian bantuan Tabung Pendidikan India Negeri Perak di pejabat BN Sungai Siput di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, Sen Sern memenangi kerusi berkenaan dengan 9,439 undi menewaskan calon MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

Mengulas kemenangan BN yang berjaya membentuk kerajaan baharu selepas menang dua pertiga pada PRN Johor, Vigneswaran berkata, kemenangan tersebut merupakan bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

Malah katanya, undi kaum India kepada BN juga dilihat semakin meningkat dan bukan hanya sekadar retorik. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI