KUALA LUMPUR – Seramai 13 pemandu mabuk ditahan menerusi operasi mingguan yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, malam tadi.
Operasi mingguan itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 72 pegawai serta anggota polis dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan 13 lelaki terbabit yang berusia lingkungan 29 hingga 62 tahun kerana memandu dalam keadaan mabuk.
“Kesemua suspek telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Selain itu, kita turut menangkap 10 orang lelaki termasuk dua warga asing berusia 21 hingga 49 tahun kerana menjalankan kegiatan mengutip bayaran parkir kereta secara haram.
“Kita turut merampas duit yang diambil daripada pemandu secara paksaan dan kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 50(3) APJ 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sarifudin, tangkapan turut dilakukan ke atas seorang lelaki warga India berusia 28 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 750 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita 38 buah motosikal kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut kesalahan manakala warga India tersebut dibawa ke IPD Sentul untuk siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE