fbpx

Zizi kurangkan lincah lepas berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZI KIRANA

TRANSISI sebagai isteri yang digalas sejak lima bulan lalu menjadikan kehidupan Zizi Kirana lebih bermakna. Setiap suka duka sedang dilalui bersama suami tercinta, Yusuf Bahrin.

Lelaki ‘kiriman Tuhan’ yang menjadi tulang belakangnya itu juga bukan sekadar imam, aktor yang dikenali ketika muncul dalam sebuah program televisyen beberapa bulan sebelum sepakat mendirikan rumah tangga dianggap sebagai rakan karib tempat berkongsi luahan perasaan.

Yusuf juga banyak memberi suntikan semangat untuk Zizi terus berkarya, terutama dalam muzik.

Suami jugalah yang menjadi azimat untuk Zizi meredakan kebimbangan apabila istiqamah untuk terus menyanyikan irama rap biarpun sudah berhijab.

“Hakikatnya saya seperti takut untuk berdepan maklum balas ramai andai kemunculan selepas hampir dua tahun tiada lagu baharu, saya tetap tegar dengan rap walaupun sudah bertudung.

“Sangkaan saya meleset kerana seperti dikatakan suami atau pasukan kami, semua ini berbalik kepada niat kita. Tidak kira apa genre pun yang dibawa, Jika beri manfaat kenapa perlu takut?

“Sebagai suami, Yusuf beri saya kebebasan untuk berkarya sekali gus meneruskan kerjaya muzik dengan lebih bersungguh-sungguh asalkan tahu jaga batas.

“Biarpun tidak selincah dahulu terutama dari segi tarian, saya tiada masalah selain yakin peminat pun faham dengan perubahan ini.

“Bertudung mudah, namun untuk istiqamah perlukan kesungguhan,” katanya yang kini tampil dengan single baharu berjudul Pijak.

ZIZI masih rap namun dalam situasi yang lebih sopan dan terbatas dari segi kelincahan dan aksi memandangkan sudah melalui fasa bersuami dan berhijab.

Penindasan

Pemilik nama sebenar Nur Fazelah@Zizie Mad Tahil itu mengakui, lagu yang dihasilkan sendiri bersama Navigator dan Mambang itu simbolik penghijrahannya dari segi imej dan kefahaman.

Lagu terbitan Def Jam Malaysia yang diluncurkan selepas genap setahun dihasilkan itu menjadi ‘penyataan’ peribadinya berhubung isu penindasan.

Seperti lagu Eh yang meraih trofi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35, Pijak turut membawa mesej positif sekali gus mengukuhkan jenama Zizi dengan karya aliran sebegitu.

“Saya berani membuat teguran dalam lagu kerana pasti, kita pun pernah berdepan situasi sama dan ingin menyuarakan isi hati sebagai ingatan kepada semua jangan cuba menindas insan lain.

“Single yang juga kesinambungan daripada lagu Eh ini turut menceritakan kisah individu yang cuba ambil kesempatan atas kebaikan dan kelemahan orang lain.

“Secara tidak langsung, ini juga peringatan kepada diri dan supaya saya ambil iktibar tidak mengambil kesempatan atas orang lain,” ulasnya lagi yang teruja dengan sambutan terhadap video muzik (MV) lagu berkenaan.

Sepanjang dua minggu seminggu dilancarkan, MV yang sekali lagi mendapat sentuhan Hasif Hamid (pengarah MV Eh) telah meraih lebih 400,000 tonton dalam YouTube.

MINAT suami terhadap muzik dan seni memberi keselesaan buat Zizi untuk meneruskan kecintaan terhadap bidang nyanyian.

Suami

“Alhamdulillah proses penggambaran MV juga berjalan lancar dengan hanya sehari saja untuk disempurnakan, manakala plot kisah yang disajikan juga ringkas tetapi sarat makna.

“Berbeza dengan Eh, kali ini saya sudah berhijab jadi pergerakan atau tarian juga terbatas. Namun bagi saya itu bukan masalah, sebaliknya cabaran untuk buat kita lebih kreatif.

“Paling penting mesej yang cuba kami sampaikan dapat difahami semua. Sebenarnya saya sangat gembira tengok hasilnya. Memang macam yang kami visualkan sebelum ini.

“Cuma saya agak terkilan kerana sepatutnya suami muncul dalam MV baharu ini, tapi atas sebab tidak dapat dielakkan tempatnya terpaksa digantikan. Apa pun saya reda tiada rezeki kami muncul berdua,” kata penyanyi asal negeri di bawah bayu itu.
Idam

Menyimpan hasrat ingin mengadakan persembahan secara langsung dalam skala besar, Zizi yakin suatu masa nanti peluang berkenaan pasti bakal menjelma.

Buat masa ini, dia hanya berserah selain beri fokus terhadap promosi Pijak menerusi laman maya serta mengikuti program yang sudah diatur syarikat Universal Music Malaysia dan pengurusannya.

“Apabila industri hiburan dibuka semula selepas dua tahun melalui fasa sukar dalam era PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), seperti segmen bisnes lain, semua penggiat seni dapat tarik nafas lega.

“Saya sendiri teruja untuk beraksi, tetapi mujur sepanjang tempoh ‘terperap’ saya dapat hasilkan pelbagai penerbitan seperti taranum dan sebagainya

“Selepas tempoh PKP pula saya beralih kepada fasa sebagai isteri. Jadi sepanjang tempoh itu tumpuan saya beralih ke urusan rumah tangga sementara menunggu pelancaran single baharu.

“Nyata perancangan Allah adalah sebaik-baiknya kerana segala-galanya sudah disusun cantik.

“Kini saya dalam fasa mempromosikan pula Pijak yang turut mendapat sokongan suami,” ulasnya.

ZIZI kini menyusun jadual kerja dengan teliti agar pengalaman pertama Ramadan sebagai isteri dapat dijalani dengan penuh keindahan.

Teruja tunggu Ramadan

Meneruskan perbualan, Zizi yang ditemui usai sidang media di pejabat Universal Musid baru-baru ini juga teruja bercerita tentang alam rumah tangganya.

Kehadiran Ramadan antara dinanti memandangkan buat pertama kali bakal meraikan bulan penuh barakah itu bersama suami tercinta yang pastinya bakal menjadi pengalaman terindah.

Pada masa sama, Zizi yang pernah menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat Sabah mewakili sekolah juga antara selebriti yang selalu diundang stesen televisyen untuk beberapa program mengaji.

“Sebenarnya jadual pembabitan dengan program televisyen untuk Ramadan belum diperincikan lagi, cuma kalau nak raikan bulan puasa dengan suami memang ada saya sebut-sebut kepadanya.

“Dia pun mungkin terbabit dalam projek drama pada waktu itu tetapi tengok dulu macam mana. Kalau dapat peluang memang kami mahu terawih bersama-sama. Kita rebut berkat Ramadan.

“Saya pun sudah risik-risik, suami jenis tak cerewet soal bersahur, dia boleh makan roti untuk alas perut, cuma sudah jadi isteri memang saya tak boleh fikir diri sendiri saja sekarang.

“Sebenarnya tak susah pun jaga perut Yusuf memandangkan dia ambil makanan sihat. Kalau dia ‘shooting’ saya akan masak untuk bekalnya yang ringkas-ringkas saja,” katanya.

Berharap kehidupan rumah tangga mereka dalam dakapan bahagia untuk hari-hari mendatang, Zizi turut memohon doa ramai supaya dirinya terus istiqamah, menjadi isteri mithali dan penghibur yang tidak sia-sia.

ZIZI menyimpan hasrat ingin mengadakan persembahan secara langsung dalam skala besar, dia yakin suatu masa nanti peluang berkenaan pasti menjelma suatu hari nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI