KURANG seminggu dimuat naik dalam YouTube, video persembahan Marsha Milan Londoh menyanyikan lagu Cinta pada Anugerah Juara Lagu ke-36 tempoh hari berjaya meraih 1.4 juta tontonan.
Video yang dimuat naik dalam saluran TV3 Malaysia tersebut turut mengumpul ribuan komen daripada netizen seluruh pelosok dunia yang memuji kehebatan vokalnya.
Sehingga hari ini, netizen juga tidak henti-henti memuji kehebatan penyanyi kelahiran Sabah itu dan berharap agar perhatian yang dimiliki hari ini tidak hanya sekerat jalan.
“Dia bukan hanya menyanyi tetapi juga menyampaikan rasa dari jiwa,” puji seorang netizen.
“Inilah kemenangan yang dinanti-nantikan ramai. Penantian 16 tahun untuk dilihat akhirnya dibayar dengan cara yang gah,” komen seorang lagi pengguna YouTube.
Nyanyian Marsha turut meraih pujian daripada pesohor media sosial dan pengkritik muzik.