SHAH ALAM – Perompak solo yang menembak mati seorang pengawal keselamatan di sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini semalam merupakan lelaki buruan yang dipercayai pernah terlibat dalam kes pembunuhan seorang anggota polis, lima tahun lalu.
Dalam kejadian tembakan kira-kira pukul 5.50 petang, suspek berusia 38 tahun itu juga telah menggunakan pistol jenis 99 Walter yang dipercayai milik Lans Koperal Valentino Mesa dibunuhnya di balai polis di Pinggiran USJ.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu terbongkar hasil siasatan lanjut terhadap suspek yang ditahan di sebuah bank di Seksyen 20 di sini pukul 7 petang semalam.
Katanya, semasa ditahan suspek didapati hendak memasukkan wang kira-kira RM350,000 hasil rompakannya.
“Polis turut menemui sepucuk pistol model 99 Walter, beserta 10 butir peluru dan dua kelopak peluru.
“Suspek dipercayai pernah terlibat kes bunuh anggota polis di Taman Pinggiran USJ dengan senjata digunakan semasa rompakan adalah pistol milik anggota polis yang dilarikan suspek,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Berdasarkan kejadian di balai polis Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017 itu, Lans Koperal Valentino Mesa berusia 29 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan kira-kira pukul 3.25 pagi oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis.
Hasil pemeriksaan terhadap Valentino berasal dari Sarawak itu terdapat satu tembakan daripada pistol anggota itu sendiri dan suspek melarikan pistol tersebut.
Arjunaidi memberitahu, siasatan turut mendapati suspek melakukan jenayah rompak itu secara solo dan tidak menganggotai mana-mana kumpulan kongsi gelap.
Ujarnya, dalam kes tembakan di Puchong Prima itu berlaku ketika empat pengawal keselamatan sedang memindahkan wang tunai berjumlah RM1.031juta dari sebuah bank untuk dimasukkan ke dalam van syarikat pengawal keselamatan itu.
“Suspek senjatakan sepucuk pistol lalu bertindak melakukan rompakan dan berlaku pergelutan sebelum tiga das tembakan dilepaskan suspek.
“Satu das tembakan telah mengenai belakang badan salah seorang pengawal keselamatan dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala satu das lagi mengenai rusuk rakannya dan kini dirawat di Hospital Serdang,” katanya.
Jelas beliau, sebanyak RM500,000 berjaya dilarikan suspek dan polis berjaya merampas RM350,000 sewaktu menahannya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan samun dan kesemuanya dilakukan secara bersendirian.
“Suspek kini direman selama seminggu bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971,” katanya. -KOSMO!ONLINE