fbpx

Syatilla kerap alami pendarahan kerana plasenta previa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DISEBABKAN mengalami komplikasi kehamilan, Syatillah diminta untuk masuk wad lebih awal ketika usia kandungannya mencecah 36 minggu kelak.

PETALING JAYA – Pelakon Syatilla Melvin tidak menyangka pendarahan yang kerap dialaminya sejak kebelakangan ini adalah petanda komplikasi kehamilan iaitu plasenta previa atau uri bayi berada di
bawah rahim.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 31, yang kini sedang hamil tujuh bulan anak ketiganya turut mengakui begitu banyak ujian dilaluinya untuk kehamilan kali ini.

“Tadi (semalam) pergi pemeriksaan, doctor beritahu kehamilan plasenta previa. Sebab kebelakangan ini asyik alami pendarahan. Jalan banyak, angkat anak, kasar sedikit akan berlaku pendarahan.

“Lain anak lain sungguh pembawakan dia. Tapi anak nombor tiga ini memang pelik. Dari awal memang pelik. Sampai sekarang tidak lalu hendak promosi produk sendiri.

“Sudah berapa lama tidak buat video (content) untuk produk. Bila pegang sahaja produk rasa meremang pening. Tidakkah aneh?” tulis Syatilla dalam Instagramnya malam tadi.

Dalam pada itu Syatilla yang juga isteri kepada aktor Shaheizy Sam mendedahkan, disebabkan komplikasi kehamilan yang dialaminya, dia tidak mempunyai pilihan selain bersalin secara pembedahan.

“Jadi, nombor tiga ini pastilah doktor kena belah perut aku. Baru rancang untuk cuba kelahiran VBAC (kelahiran normal untuk mereka yang pernah melakukan pembedahan caesarean).

“Tidak ada rezeki sungguh. Tidak apalah, apa hendak jadi pada ibu sekalipun jadilah. Janji anak ibu selamat sempurna. Amin,” tulis Syatilla lagi.

Oleh sebab kehamilannya berisiko tinggi, Syatilla telah diminta oleh doktor untuk berada di hospital apabila kehamilan mencecah 36 minggu atau cukup lapan bulan.

“Bagaimanapun doktor suruh masuk wad ketika kehamilan berusia 36 minggu.Tapi aku nak raya dan tidak mahu masuk wad lagi.

“Ya Allah, siapa lagi ada pengalaman kehamilan plasentra previa ini? Boleh kongsikan pengalaman?” ujar Syatilla.

Terdahulu pada peringkat awal kehamilan, dia berdepan dengan alahan yang teruk dan turut dijangkiti virus Covid-19 pada Februari lalu sebelum disahkan mengalami kehamilan plasenta previa.

Sekadar info, kehamilan Syatilla kali ini merupakan kandungan keenamnya selepas pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali.

Pelakon yang popular dengan drama Sha & Shah itu berdepan keguguran kali terakhir pada April tahun lalu ketika usia kandungannya lapan minggu.

Syatilla dan Shaheizy Sam mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 5, dan Sarima Samheizy, 2. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI