KULAI – Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan Perikatan Nasional (PN) tidak berupaya menyaingi gelombang biru yang dibawakan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat ini.
Setakat pukul 9 malam, peta negeri Johor dilimpahi warna biru yang mewakili warna BN hampir memenuhi segenap ruang peta berkenaan.
Keputusan tidak rasmi setakat ini, PN dilihat mendahului di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Bukit Pasir, Maharani dan Endau.
Ia melibatkan calon Datuk Dr. Sahruddin Jamal (Bukit Kepong), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (Bukit Pasir), Abd Aziz Talib (Maharani) dan Alwiyah Talib (Endau).
Setakat ini, belum ada keputusan rasmi namun lautan biru BN mewarnai di lebih 30 kerusi daripada 56 kerusi dipertandingkan.
Sementara itu, terdapat beberapa kawasan Yang masih belum mendapat sebarang keputusan iaitu di kerusi DUN Yong Peng, Panti, Stulang dan Skudai.
Jika keputusan tidak rasmi itu tidak berubah, BN dilihat sudah mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Datuk Seri Hasni Mohammad pastinya tidak sabar untuk dilantik semula menjadi Menteri Besar negeri ini.- KOSMO! ONLINE