MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini selesai menjalankan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu tiba di pusat mengundi pada pukul 9.17 pagi bersama isteri, Puan Sri Nooraine Abdul Rahman.
Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai suasana hari pengundian, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyasarkan peratusan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencecah sehingga 80 peratus.
“Semalam dikatakan Muar ini sesak, mungkin ramai daripada luar sudah pun balik untuk mengundi pagi ini dan bagi saya ini adalah satu perkara yang amat penting.
“Ini kerana kalau peratusan jumlah pengundi agak rendah, ia tidak akan mencerminkan hakikat realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya lagi, melihat kepada trend sambutan yang menggalakkan sepanjang tempoh berkempen katanya, beliau meletakkan keyakinan penuh dengan sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN). – KOSMO! ONLINE