KIEV, Ukraine – Penduduk bandar Mariupol yang menjadi sasaran serangan udara dan bedilan artileri pada Rabu lepas dilaporkan berada dalam keadaan kebuluran dan bergaduh sesama sendiri kerana berebut sisa makanan, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Penduduk Mariupol terpaksa berlindung selama beberapa hari tanpa bekalan makanan, air dan elektrik dalam cuaca sejuk ekstrem di bawah paras beku ketika tentera Kremlin berterusan membedil bandar itu.
Bedilan artileri Rusia kelmarin yang menyasarkan sebuah hospital bersalin dan kanak-kanak, menyebabkan tiga orang terbunuh termasuk seorang budak perempuan berumur enam tahun.
Perkembangan itu berlaku di sebalik dakwaan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bahawa semua wanita dan jururawat telahdpindahkan dari hospital tersebut. Menurutnya, hospital itu menjadi sasaran kerana ia telah dirampas oleh ‘kumpulan radikal’ Ukraine.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa berkata, senario di Mariupol sangat mengerikan dengan orang ramai menyerang satu sama lain untuk mendapatkan makanan.
Bekalan makanan dan air yang ada sangat sedikit sehingga menyebabkan penduduk terpaksa mencairkan salji untuk dijadikan air minuman, manakala kanak-kanak tidak mendapat makanan.
Setakat ini, seramai 1,207 mangsa dipercayai terbunuh akibat serangan Rusia dengan mayat-mayat mereka bergelimpangan di sebalik runtuhan bangunan.
Ketua Delegasi Palang Merah, Sasha Volkov memberitahu, terdapat kewujudan pasar gelap yang menjual sayur-sayuran di Mariupol, namun tidak mempunyai makanan asas lain.
Bekalan perubatan juga semakin berkurangan dengan banyak farmasi dijarah sekitar empat hingga lima hari lalu ketika semua penduduk berkumpul di pusat-pusat perlindungan bawah tanah.
“Orang ramai melaporkan keperluan perubatan yang berbeza-beza. Terutama untuk pesakit kencing manis dan kanser. Tetapi tidak ada cara untuk mencari ubat yang diperlukan di bandar ini,” kata Volkov.
Mariupol telah menerima sekurang-kurangnya lapan serangan udara besar-besaran dalam tempoh 48 jam.
Percubaan pihak luar untuk menghantar bantuan dan konvoi pemindahan menemui jalan buntu sejak enam hari lalu.
Datuk Bandar Mariupol, Petro Andrushenko berkata, pesawat Rusia bertindak membedil mana-mana konvoi bantuan yang melalui jalan menuju ke kawasan yang terjejas akibat perang.
“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan makanan dan perubatan dari luar tetapi saya tidak tahu bilakah ia akan berjaya sampai dan jika ia belum terlambat untuk penduduk yang memerlukan,” kata Andrushenko.
Sementara itu, Rusia telah berulang kali berjanji sejak hujung minggu lalu untuk menghentikan tembakan bagi memberi peluang orang awam yang terperangkap melarikan diri dari Mariupol.
Namun begitu, situasi bertukar minggu ini dengan kedua-dua belah pihak menyalahkan satu sama lain berhubung kegagalan operasi pemindahan tersebut.
Hasilnya, tiada sesiapa yang selamat dipindahkan selepas Rusia gagal mematuhi gencatan senjata sementara yang dipersetujui sebelum ini. – Agensi