BRIGHTON – Liverpool tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan The Reds kini mengharungi sembilan perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam saingan EPL sejak kali terakhir tewas 0-1 kepada Leicester City pada 29 Disember lalu.
Bukan itu sahaja, ia turut membolehkan Liverpool terus menghimpit pendahulu EPL, Manchester City yang kini cuma berkelebihan tiga mata sebelum turun menentang Crystal Palace di Selhurst Park awal pagi Selasa ini.
Dalam aksi itu, skuad bimbingan Jurgen Klopp berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Luis Diaz selepas menerima hantaran lambung daripada Joel Matip pada minit ke-19.
Brighton bernasib baik apabila penjaga golnya, Robert Sanchez tidak dilayangkan kad merah kerana mengasari Diaz selepas pengadil merujuk kepada sistem Video Bantuan Pengail (VAR).
Gol kedua Liverpool hadir pada minit ke-61 menerusi sepakan penalti Mohamed Salah selepas rembatan daripada Naby Keita terkena tangan pemain tengah Brighton, Yves Bissouma.
Jaringan itu menyaksikan Salah kini terus mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak EPL dengan 20 gol setakat ini.
Kemenangan itu pastinya melonjakkan semangat Salah dan rakan sepasukannya yang akan bertemu lawan sukar selepas ini iaitu Arsenal untuk aksi seterusnya di Stadium Emirates pada Khamis nanti. – AGENSI