PETALING JAYA – Beberapa minggu menyepi dan langsung tidak berkongsi apa-apa aktiviti dalam media sosial, penyanyi popular Misha Omar akhirnya mendedahkan dirinya baru sahaja sembuh daripada wabak pembawa maut, Covid-19.
Misha ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, bukan dia seorang yang dijangkiti virus tersebut, tetapi suami dan anak bongsu mereka juga menerima nasib sama.
“Ramai bertanya kenapa saya senyap dan seperti tidak aktif dalam media sosial selepas showcase pertengahan Februari lalu selesai.
“Kami bertiga dapat tahu dijangkiti Covid-19 selepas pergi melakukan ujian calitan di salah sebuah klinik apabila anak bongsu, Idris mengalami demam panas dan suhu yang tinggi.
“Cuma anak sulung saya, Adam yang tidak mengalami apa-apa simptom dan bebas daripada wabak tersebut,” katanya.
Tambah pelantun lagu hit Tanpa Rela itu lagi, dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami gejala yang teruk sepanjang dijangkiti wabak tersebut.
“Alhamdulillah, saya dan suami tidak mengalami gejala berat, kecuali Idris yang demam dengan suhu agak tinggi sepanjang beberapa hari.
“Cuma selepas pulih, saya perasan sering mengalami gejala pening kepala yang sangat kerap. Alhamdulillah, yang lain semua okey dan masih boleh dikawal,” katanya.
Pada masa sama, Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 40, berkata, apa yang menyebabkan dia dan suami tidak mengalami gejala teruk barangkali disebabkan sudah lengkap divaksinasi serta mengambil dos penggalak.
“Saya fikir vaksin yang lengkap dan sudah ambil dos penggalak membantu membuatkan gejala kami berdua tidak teruk sepanjang positif,” katanya.
Terdahulu, Misha turut berkongsi dan mendedahkan bahawa dia dan keluarga sudah bebas daripada Covid-19 menerusi hantaran dalam Instagram.
“Alhamdulillah Kak Mitch semakin sihat,” tulisnya ringkas sekali gus meleraikan tanda tanya peminat tentang kehilangan dirinya beberapa minggu sebelum ini. – KOSMO! ONLINE