GEORGE TOWN – Malaysia dijangka melepasi kemuncak penularan varian Omicron menjelang hujung bulan ini apabila tanda-tanda penurunan jangkitan sudah mula dilihat ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan itu turut dilihat kepada situasi di negara lain seperti Britain dan Filipina yang kini dalam trend penurunan selepas berada pada kemuncak penularan varian itu kira-kira sebulan dan dua bulan lalu.
Katanya, ia berdasarkan pendekatan imuniti kelompok iaitu pemberian vaksin mencecah 99 peratus populasi dewasa, manakala kira-kira tiga juta penduduk pula sembuh daripada jangkitan yang memberikan mereka imunisasi terhadap varian Omicron.
“Cuma ketakutan kita sekarang adalah sekiranya terdapat varian Covid-19 baharu yang lebih berbahaya, mudah tersebar dan kebal terhadap vaksin. Jadi, kita perlu bersedia.
“Ketika ini, kita tahu varian Omicron memberi maklum balas terhadap vaksin yang kita berikan yang mana ia adalah sesuatu yang baik.
“Jadi kita harap dengan pendekatan imunisasi kelompok dengan pemberian vaksinasi, varian Omicron ini dapat dikawal dan kes jangkitan terus menurun sama seperti di negara-negara lain,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Mendepani Cabaran Omicron: Adakah Malaysia Bersedia anjuran Penang Institute di sini. – KOSMO! ONLINE