PETALING JAYA – Rentetan luahan rasa tidak puas hati adik kepada Shila Amzah iaitu Syada, difahamkan merujuk kepadanya, pelakon Sharnaaz Ahmad mengambil pendekatan enggan memanjangkan isu tersebut.
Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, bertegas tidak mahu bersifat negatif, terutama ketika menjalani fasa kehidupan ketika ini.
“Hanya benda-benda positif dalam hidup saya. Yang negatif minta dalam test kit (ujian kendiri) Covid-19 sahaja.
“Saya tak berminat nak komen panjang. Saya sekarang ada kehidupan yang indah bersama yang tersayang, Jebat Jayden,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ditanya sama ada dirinya marah dengan situasi yang tercetus, jawab Sharnaaz: “Tak marah aih. Gembira sahaja. Dah lama tak marah-marah ni. Kena marah ada lah dengan Jebat.”
Pelakon drama rantaian I Promise Janji Anaqi itu dihubungi berhubung isu kenyataan yang dikeluarkan Syada menerusi Twitter.
Baru-baru ini, Syada yang juga merupakan bekas peserta program realiti, Big Stage musim kedua memuat naik ciapan berbunyi: “Anda panggil mak saya pelacur, kakak saya jalang dan keluarga saya barua.
““Saya tidak akan pernah memaafkan untuk apa yang telah anda lakukan. Ada beza being real (jujur) dengan memang biadab,” ciapnya.
Bagaimanapun, ciapan tersebut tidak merujuk kepada mana-mana individu.
Sungguhpun begitu, berdasarkan komen-komen netizen, penyataan tersebut dikatakan ada kaitan dengan pergolakan yang pernah berlaku antara Sharnaaz dan keluarga Shila sewaktu terjadinya episod putus cinta sekitar 10 tahun lalu.
Terdahulu, Sharnaaz mendedahkan kepada media bahawa dirinya tidak pernah menyimpan dendam terhadap Shila yang pernah menjadi kekasihnya suatu ketika dahulu.
Shila juga sangat menghargai sokongan yang diberikan Sharnaaz menerusi temu bual bersama media usai AJL36 yang menyaksikan dirinya dan kumpulan SOG diangkat sebagai juara keselurugan menerusi karya berjudul Pelukan Angkasa. – KOSMO! ONLINE