fbpx

Endemik, kita masih berisiko dijangkiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian orang ramai masih mengamalkan pemakaian pelitup muka termasuk di tempat terbuka.
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini, namun ia bukan bermakna negara telah bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi berkata, tanggapan bahawa ‘endamicity’ penyakit Covid-19 adalah ringan dan seseorang tidak dapat dielak daripada dijangkiti virus ber­kenaan sebagai berbahaya.

“Endemik tidak bermakna tidak berbahaya. Sesuatu pe­nyakit boleh menjadi endemik dan masih merebak secara meluas serta membawa maut sebagai contoh penyakit batuk kering,” katanya.

Pandangan Dr. Noran berhu­bung tanggapan yang berbahaya itu berasas kerana kita boleh lihat apa beliau perkatakan itu di sekeliling kita ketika ini.

Semakin ramai anggota ma­syarakat dilihat kurang mengambil berat tentang prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Termasuk SOP paling asas pemakaian pelitup muka ketika bersama sahabat handai mahupun sanak saudara mungkin ke­rana sudah yakin Covid-19 tidak mengancam nyawa.

Perlu faham walaupun kerajaan telah melonggarkan ba­nyak sekatan, tetapi pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib.

Penjarakan fizikal masih diga­lakkan walaupun had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai dimansuhkan.

Ini bermaksud kerajaan masih memberi perhatian terhadap penularan Covid-19 meskipun negara bakal keluar daripada pandemik dan memasuki era endemik.

Malah mereka yang sudah yakin tidak akan maut disebabkan Covid-19 perlu berlaku adil dan prihatin terhadap golongan yang masih berisiko tinggi.

Mereka adalah rakyat Malaysia yang tidak boleh divaksin di­sebabkan oleh faktor kesihatan dan golongan ini perlu terus di­lindungi.

Individu lengkap vaksinasi ba­rangkali tidak mati atau me­ngalami gejala serius andai dijangkiti, tetapi apakah nasib golongan rentan ini jika kita yang menjangkiti mereka?

Justeru, seharusnya semua pi­hak terus mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya da­lam negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Usah merasa malu masih memakai pelitup muka atau enggan berjabat tangan kerana virus bukan sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama.

Seperti kata Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatik) Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr. Malina Osman, kita perlu ‘move on’ dan terima kenya­taan hidup bersama Covid-19.

Menurut beliau, tiada keadaan negara akan bebas daripada Co­vid-19 kerana bahaya atau tidak, jika tahu cara jangkitan dan melindungi diri maka Covid-19 bukan lagi suatu isu.

“Bagaimanapun keperluan ki­ta ketika ini adalah melindungi golongan rentan yang tidak boleh mengambil vaksin disebabkan faktor kesihatan,” jelas beliau.

Kesimpulannya, setiap indivi­du di Malaysia wajar terus memainkan peranan memben­dung penularan Covid-19 selepas ta­rikh 1 April ini.

Banyak sekatan ditarik balik bermakna kerajaan telah me­lakukan apa yang sepatutnya dan kini terserah kepada kita untuk memainkan peranan kendiri.

Terus mengamalkan SOP bagi mengelak dijangkiti bukan bermakna penakut, tetapi untuk memastikan kekal produktif buat diri dan keluarga.

Dalam masa sama membantu menjaga keselamatan insan lain yang masih dikategorikan sebagai golongan rentan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI