PORT DICKSON – Keadaan cuaca yang tidak menentu yang dialami ketika ini antara faktor jumlah burung pemangsa yang kini sedang bermigrasi dilihat semakin berkurangan di sekitar Tanjung Tuan di sini.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail berkata, burung pemangsa tersebut yang dalam laluan pulang ke hemisfera utara akan melalui kawasan tinggi seperti Tanjung Tuan ketika cuaca panas.
“Sekiranya cuaca berubah ia akan menyebabkan kehadiran burung-burung pemangsa ini semakin berkurangan. Kami menyasarkan sebanyak 25,000 ekor burung pemangsa berhijrah melintasi Tanjung Tuan pada tahun ini.
“Bagaimanapun, faktor hujan dan mendung menganggu kehadiran burung pemangsa ini ke Tanjung Tuan,” katanya kepada pemberita pada program Raptor Watch 2022 di Tanjung Tuan hari ini.
Menurutnya, sejak 7 Mac lalu, pihak MNS telah merekodkan kehadiran sebanyak 2,300 ekor burung pemangsa dengan 1,958 ekor adalah daripada jenis Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard).
“Tahun ini merupakan kali ke-23 aktiviti pemerhatian burung pemangsa ini dijalankan oleh MNS. Acara tahunan ini adalah untuk melihat beribu-ribu ekor burung pemangsa melintasi Selat Melaka daripada Sumatera, Indonesia melalui Tanjung Tuan.
“Jarak antara Pulau Rupat, Indonesia dan Tanjung Tuan adalah 38 kilometer. Bermula dari Rumah Api Tanjung Tuan burung pemangsa ini mudah dilihat termasuk di kawasan pantai sekitar Tanjung Tuan sekiranya burung itu terbang rendah.
“Selain daripada menjadi acara penting dalam produk ekopelancongan, aktiviti memerhati burung pemangsa ini juga untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang pemuliharaan burung pemangsa dan habitat mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE