MADRID – Pelumba pasukan Aprilia, Aleix Espargaro mengakui, dia akhirnya memiliki sebuah jentera yang mampu bersaing di kelompok hadapan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Jentera RS-GP yang ditunggangnya pada Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail minggu lalu menunjukkan peningkatan ketara apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Espargaro percaya dia kini memiliki senjata rahsia dan akan menjadikan setiap perlumbaan sebagai medan ujian bagi memastikan jenteranya mampu mencapai potensi maksimum.
“Saya fikir setiap perlumbaan akan jadi medan ujian buat Aprilia kerana mahu dapatkan prestasi terbaik. Aksi pramusim di Malaysia dan Indonesia serta perlumbaan pertama di Qatar membuktikan kemampuan kami.
“Pada perlumbaan di Qatar, saya fikir ia salah satu perlumbaan terbaik pernah diharungi. Bukan saya kata layak jadi pemenang, namun sepatutnya berada di kedudukan kedua atau ketiga,” katanya.
Oleh itu, dia berharap jenteranya mampu untuk menampilkan aksi sama menjelang GP Indonesia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Mandalika bermula 17 hingga 20 Mac ini.
“Saya sangat gembira untuk bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik di kelompok hadapan kerana sudah ada senjata rahsia. Sudah tentu saya mahukan kedudukan podium kerana jentera kami cukup baik musim ini,” ujar Espargaro. – AGENSI