SHAH ALAM – Kegiatan satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang aktif sejak enam bulan lalu tumpas apabila premis mereka digempur di Sungai Chua, Kajang, kelmarin.
Serbuan kira-kira pukul 10.20 pagi itu membawa kepada penahanan seramai 18 individu berusia 18 hingga 52 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, operasi hasil maklumat dan risikan itu dijalankan pihaknya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Katanya, ketika serbuan terdapat enam lelaki dan 12 wanita warga tempatan berada di premis sindiket tersebut.
“Hasil pemeriksaan kemudian merampas barangan dan dokumen yang digunakan untuk kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen itu.
“Antara yang dirampas iaitu lima komputer, 17 fail mengandungi dokumen peminjam, 170 keping kad bank, tujuh telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM21,598,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Azman, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400). -KOSMO!ONLINE