JEDDAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membatalkan pemeriksaan status vaksinasi bagi individu yang memasuki Masjidil Haram di kota suci Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah bermula kelmarin, lapor akhbar Saudi Gazette.
Keputusan tersebut dibuat selepas kementerian mengkaji perkembangan semasa utama berkaitan pandemik Covid-19.
Kementerian juga membatalkan syarat pendaftaran data imunisasi bagi mendapatkan permit umrah bagi jemaah dari luar Arab Saudi.
Semua langkah penjarakan sosial di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga telah dibatalkan tetapi pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.
Kementerian sama juga menyatakan pemansuhan keperluan untuk mengemukakan keputusan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) semasa ketibaan bagi jemaah haji warga asing dan pemansuhan keperluan kuarantin bagi jemaah luar. – Agensi