AMPANG – Semua identiti mangsa telah dikenal pasti oleh pihak polis dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, proses pengecaman terhadap semua mangsa yang maut telah dilakukan oleh ahli keluarga masing-masing.
“Empat mangsa maut dikenali sebagai Chong Siew Kim,85, E. Ramasamy,58, A. Mahendran,36, dan Mohd. Saiful Ridzuan Ishak,37.
“Manakala mangsa cedera adalah Cheng Kim Cheng,85, ditempatkan di Hospital Ampang untuk rawatan susulan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambahnya, proses bedah siasat terhadap semua mangsa maut kini masih dijalankan di Hospital Ampang.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE