MADRID – Masa depan Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino kini menjadi tanda tanya selepas gergasi Perancis itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara musim ini.
PSG ditunjukkan jalan keluar dengan cara penuh memalukan apabila membenarkan penyerang Real, Karim Benzema meledak hatrik dalam tempoh 16 minit untuk menang 3-1 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Hatrik Benzema menyaksikan PSG terpaksa akur tersingkir dengan kekalahan 2-3 secara agregat biarpun menang 1-0 pada perlawanan pertama di Parc des Princes bulan lepas.
Pochettino, 50, perlu bertanggungjawab kerana sekali lagi gagal memastikan PSG menamatkan penantian untuk bergelar juara Eropah buat julung-julung kali.
Bukan itu sahaja, jurulatih dari Argentina itu juga gagal memujuk Kylian Mbappe menandatangani kontrak lanjutan bersama PSG, sebaliknya bintang Perancis itu memilih untuk menyertai Real pada musim depan.
“Kami benar-benar kecewa dan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk bercakap mengenai masa depan saya.
“Selama satu jam, kami adalah pasukan lebih bagus daripada Real. Namun, gol pertama mereka telah mengubah suasana perlawanan dan kemudian kami terus melakukan kesilapan demi kesilapan.
“PSG sentiasa berusaha untuk mendapatkan trofi Liga Juara-Juara tetapi ia masih gagal dicapai. Saya kecewa dan saya percaya beberapa minggu ini akan menjadi sukar buat kami,” kata Pochettino. – AGENSI